Friday, October 16, 2009

Formula 1:Proton bermain api

Proton nyata terlewat untuk menerokai bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D). Malah, Proton hilang kelebihannya dari segi harga setelah penurunan cukai import. Kini, Proton berdepan dengan dua masalah yang besar.
Pertamanya, bagaimana untuk bersaing dengan syarikat kereta yang lain, terutamanya pelabur asing dari segi teknologi automotif? Keduanya, bagaimana untuk terus bernafas dalam arus globalisasi yang semakin menderas?
Berapa wang dihanguskan?
Kebetulannya, kerajaan membuat pengumuman mengejut baru-baru ini -- menggunakan jenama Lotus di bawah syarikat Proton untuk menyertai Kejohanan Dunia Formula Satu (F1). Salah satu matlamat utama adalah memperkasa kemahiran teknologi kereta Proton dan malakar nama di antarabangsa.
Tidak dinafikan, penyertaan F1 sememangnya dapat menampilkan Proton di pentas dunia atas nama Lotus. Namun, segala-gala ini datang dengan harga yang tinggi. F1 diisytiharkan sebagai salah satu acara sukan dunia yang paling "menghanguskan wang".
Misalnya, bajet pasukan kereta terunggul, Ferrari ialah 200 juta pound (kira-kira RM 1.1 billion) setiap tahun. Selain itu, menurut sebuah bahan bacaan terbitan F1, pasukan kereta yang "mega" seperti Ferrari, McLaren dan sebagainya, telah menghanguskan 400 juta US dollar masing-masing, pada tahun 2006.
Toyota yang menghanguskan 450 juta US dollar setahun, gagal mengecapi nikmat juara dalam apa-apa acara sehingga kini. Honda yang menghanguskan 380 juta US dollar pada tahun 2006, menarik diri dari F1 pada tahun 2008 kerana tidak tahan dengan cara menghanguskan wang yang sedemikian.
Beberapa tahun kebelakangan ini, wang yang dihanguskan Honda melebihi 400 juta US dollar setahun. Biarpun Honda antara pengilang kereta yang paling untung di dunia, juga tidak menganggap dirinya mampu menampung beban perbelanjaan yang seberat ini.
Walaupun BMW sebagai pengilang kereta yang terbesar di dunia, juga kelihatan tidak tahan dengan cara menghanguskan wang sedemikian. BMW telah mengumumkan untuk menarik diri setelah tamatnya musim perlumbaan tahun ini. Dalam detik saat kemelut ekonomi dunia ini, BMW pun terpaksa tunduk. Sebagaimana yang diketahui, untuk beberapa tahun kebelakangan ini, BMW membelanjakan kira-kira 300 juta US dollar setahun secara puratanya.
Kos lebih rendah dari R&D
Sememangnya, FIA (Fédération Internationale de l'Automobile) telah mengumumkan satu dasar yang dilihat pro-pasukan kereta kecil yang bakal dilaksana mulai tahun 2010. Menurut dasar ini, seandainya Budget Cap (bajet maksima) satu pasukan tidak melebihi 40 juta pound (kira-kira RM 230 juta), maka pasukan tersebut bakal menikmati syarat yang lebih longgar dari segi teknikal, termasuk putaran enjin yang tidak terhad, kebenaran untuk menggunakan sayap yang boleh diubah, tiada had ketika menguji landasan dan sebagainya.
Namun, Budget Cap 40 juta pound ini tidak merangkumi kos yang lain, seperti gaji pemandu, kos enjin, pemasaran, iklan dan sebagainya. Bukan murah untuk mendapatkan seorang pemandu yang hebat dan sebiji enjin yang tahan lasak. Sebagai contoh, Ferrari membelanjakan 44 juta US dollar pada tahun 2003 hanya untuk membiayai pemandu, dan 175 juta US dollar untuk enjin.
Tetapi, bajet pasukan kereta yang kecil seperti Minardi lebih rendah, hanya 500 ribu US dollar untuk pemandu dan 15 juta US dollar untuk enjin.
Andaikan perbelanjaan tahunan pasukan lumba kereta F1 "1Malaysia" ini berdasarkan Budget Cap 40 juta pound, ditambah dengan kos pemandu sebanyak 500 ribu US dollar dan kos enjin sebanyak 15 juta US dollar (bajet pasukan kecil), maka sekurang-kurangnya 55.50 juta US dollar (atau RM195.36 juta) dihanguskan dalam tempoh setahun. Perbelanjaan ini tidak termasuk kos permulaan untuk menubuhkan satu pasukan kereta lumba.
Namun, untuk kerajaan, tiket F1 mungkin lebih berbaloi jika dibandingkan dengan wang yang perlu dicurahkan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D). Menurut laporan yang diterbitkan United Nations Conference on Trade and Development, iaitu World Investment Report 2005, enam syarikat transnasional termasuk Ford, Daimler Chrysler, Toyota, General Motor dan sebagainya, sejumlah 5 billion US dollar dibelanjakan untuk tujuan R&D pada tahun 2003, atau puratanya 833.33 juta US dollar untuk sesebuah syarikat.
Jikalau dibandingkan, pasukan F1 1Malaysia ini hanya membelanjakan 55.50 juta US dollar untuk memasuki litar F1 dan meluncur di landasan kecanggihan teknologi. Ia kelihatan cukup berbaloi.
Pada hakikatnya, banyak pasukan kereta lumba yang kecil dalam kejohanan F1 menggunakan model operasi sedemikian. Pasukan ini tidak akan memperuntukkan wang yang banyak untuk tujuan R&D. Malah, enjin penjana yang digunakan pun dibekalkan pasukan kereta dan pengilang yang lain. Oleh itu, pasukan kecil ini berjaya menjimatkan perbelanjaan yang besar dalam R&D.
Di samping itu, pasukan yang kecil ini akan menggunakan perbelanjaan yang terhad untuk penerokaan secara kecil-kecilan. Penerokaan ini mungkin mendatangkan manfaat untuk kereta lumba. Contoh yang terbaik adalah diffuser yang digunakan Brawn GP dan Toyota. Jelas, pasukan kereta yang memasang diffuser mencapai prestasi yang lebih baik, berbanding pasukan kereta yang lain.
Namun, apakah penyertaan F1 bakal memanfaatkan Proton atau Lotus dalam R&D? Persoalan ini kekal sebagai pertikaian .

Pajak kereta import:Najib menampar muka sendiri?

Kerajaan mungkin menggantikan Proton Perdana V6 Executive dengan kereta mewah yang diimport sebagai kereta rasmi.
The Malaysian Insider memetik berita ini daripada sumber dalaman kerajaan, bahawa kerajaan mengambil keputusan untuk menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang lama, dengan kereta mewah yang diimport. Keputusan ini dibuat memandangkan pengeluaran model Perdana V6 bakal dihentikan pada tahun depan.
Sekali imbas, pemimpin BN pernah menyelar kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor dan Perak kerana "tidak patriotik", ekoran daripada keputusan untuk menukarkan kereta nasional dengan Toyota Camry sebagai kereta rasmi kerajaan. Malah, setelah rampasan kuasa, Menteri Besar Perak, Zambry Abdul Kadir melelongkan segera Toyota Camry yang belum genap tiga bulan digunakan kerajaan PR.
Keputusan menggunakan kereta import mewah sebagai kereta rasmi kerajaan seumpama meludah ke langit. Seandainya apa yang dilaporkan The Malaysian Insider itu benar, maka keputusan sedemikian memberi tamparan yang sengit buat kerajaan Najib.
Kontrak bernilai RM80 juta setahun
Sebagaimana yang diketahui, kereta import mewah tersebut termasuklah Mercedes Benz S class, BMW 5 series, Toyota Camry dan sebagainya. Kerajaan akan memajakkan kereta ini dari syarikat swasta, Spanco Sdn Bhd untuk tempoh empat tahun.
Spanco Sdn Bhd adalah salah satu "produk" projek penswastaan, menawarkan perkhidmatan pajakan dan pembaikan kereta untuk kerajaan. Perjanjian konsesi untuk tempoh 25 tahun ini (sehingga tahun 2018) bernilai RM80 juta setahun.
Menurut sumber dalaman kerajaan tersebut, bayaran pajakan kereta baru adalah lebih rendah, maka akan mengurangkan kos pada peringkat awal (initial cost). Namun, Spanco Sdn Bhd boleh mempertingkatkan kadar bayaran perkhidmatan pengendalian kemudiannya, dan ia mungkin mengakibatkan matlamat kerajaan untuk berjimat tidak kesampaian.
Sementara itu, The Malaysian Insider memetik dari sumber dalaman kerajaan, bahawa hakim telah memutuskan untuk menggunakan kereta Mercedes Benz. Kereta tersebut telah mula dipasang di kilang dalam kawasan Parlimen Najib, Pekan.
Keputusan ini mencungkil dua kontradiksi yang nyata. Pertamanya, wakil rakyat BN pernah membidas keputusan kerajaan PR negeri Selangor dan Perak untuk menukarkan Perdana V6 kepada Toyata Camry sebagai tindakan yang tidak patriotik. Kerajaan negeri BN Terengganu turut berdepan dengan bantahan apabila memutuskan untuk membeli 14 buah kereta Mercedes Benz untuk menggantikan Perdana V6.
Spanco Sdn Bhd pernah dipertikai
Keduanya, pada tahun 2004, Kementerian Kewangan telah melantik syarikat perunding pengurusan bebas Tetuan Coopers & Lybrand untuk mengkajian perjanjian konsesi Spanco Sdn Bhd ini, kerana "bayaran harga yang terlalu tinggi" dikenakan terhadap kerajaan.
Menurut laporan Malay Mail, setelah dikaji semula, nilai perjanjian konsesi ini telah dikurangkan dari RM100 juta setahun kepada RM80 juta setahun. Kementerian Kewangan membuat keputusan untuk mengkaji semula program penswastaan ini setelah TPM ketika itu, Najib menyatakan bahawa "kerajaan akan mengkaji semula perjanjian konsesi yang tidak adil".
Malah, Najib pernah berkata bahawa kerajaan tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Oleh sebab itu, sekiranya kerajaan yang diterajui Najib memutuskan untuk"menggantikan Perdana V6 dengan kereta import", maka langkah ini seolah-olah menampar muka sendiri.
Pada hakikatnya, pertikaian terhadap Spanco Sdn Bhd pernah diungkit dalam parlimen pada tahun 1998. Menurut Penyata Rasmi Parlimen ke-9, penggal keempat yang bertarikh 25 November 1998, Timbalan Menteri Kewangan ketika itu Wong See Wah pernah memberi perjelasan mengapa Spanco Sdn Bhd diberikan perjanjian konsesi tersebut.
Kebetulannya, Kementerian Kewangan juga melantik Tetuan Coopers & Lybrand untuk mengkaji program penswastaan tersebut. Bekas ahli parlimen, Nungsari bin Ahmad Radhi ketika itu mempertikai mengapa kerajaan melantik Tetuan Coopers & Lybrand untuk membuat penilaian selepas program itu dijalankan, dan bukan sebelumnya.
1998: Projek pajak kereta
Kerajaan mula memajakkan kereta dari syarikat Spanco Sdn.Bhd dan tidak lagi membeli kereta untuk pegawai tinggi dalam kerajaan pada tahun 1994. Namun, bekas PM Mahathir Mohamad memberhentikan program penswastaan ini selepas kemelut ekonomi tahun 1997. Pada tahun 1998, program ini diberi nafas baru atas alasan "mengkaji semula keperluan program penswastaan".
Spanco Sdn Bhd dikuasai Tan Hua Choon, usahawan Cina yang terkemuka. Tan yang amat rapat dengan bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin (gambar di kiri), dilihat sebagai usahawan yang bangkit dengan dorongan kuasa politik pada zaman Mahathir. Hubungan antara Tan dengan Daim memberi lampu hijau kepadanya untuk menguasai beberapa sumber negara, termasuk saham beberapa syarikat tersenarai.
Selain anak Tan Hua Choon, Tan Han Chuan dan Tan Ching Ching, Lembaga Pengarah Spanco Sdn Bhd terdiri daripada Osman bin Mohd Daim, Abdul Rashid Harun, Hamzah Mohamad Salleh dan lain-lain. Hamzah Mohamad Salleh ialah Ketua Pegawai Eksekutif Spanco, sementara Osman bin Mohd Daim dan Abdul Rashid Harun sebagai rakan sepakat Tan Hua Choon dalam dunia perniagaan.

Rakyat yang biayai 1MF1T

Ketua Pasukan 1Malaysia F1 (1MF1T), Tony Fernandez memperjelaskan kepada media bahawa 1MF1T merupakan projek swasta (private venture), malah kerajaan tidak akan menyertai, bahkan menaja projek ini secara langsung atau tidak langsung.
Kenyataan pada hujung minggu yang lalu ini dianggap sebagai reaksi kepada pertikaian bahawa penyertaan F1 adalah membazir. Namun, kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Airasia ini bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri Najib Abdul Razak, ketika mengumumkan keputusan penubuhan 1MF1T.
Menurut laporan Bernama pada 15 September, Najib menyatakan dalam sidang akhbar bahawa 1MF1T adalah usahasama antara kerajaan dengan sektor swasta, dan "pelaburan kerajaan Malaysia adalah melalui Proton".
Kerajaan menarik diri?
Mengapa usahasama (joint venture) antara kerajaan dengan sektor swasta pada mulanya, kini menjadi usaha swasta (private venture) sepenuhnya? Terdapat dua kemungkinan, sama ada kerajaan menarik diri pada saat akhir, atau Tony Fernandez tidak bercakap benar.
Menurut kenyataan Najib pada 15 September, selain Proton dan Lotus yang berada di bawah Proton, Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Motorsports Association of Malaysia (MAM), Naza Motor dan AirAsia juga antara yang menyokong projek ini.
Kerajaan bekalkan sumber secara tidak langsung
Pertamanya, SIC adalah usahasama antara kerajaan dengan pihak swasta (terutamanya syarikat GLC). Sebelum ini, SIC dimiliki Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). Menurut maklumat MAHB, syarikat ini telah menjual SIC kepada kerajaan pada Julai tahun ini, dengan harga RM1. Kerajaan akan membeli landasan Sepang dalam masa 10 tahun ini, dengan harga buku (book value).
Apa yang dikatakan Tony Fernandez sebagai "1MF1T hanya meminjam sumber yang dikuasai syarikat GLC, seperti Litar Sepang dan Lotus untuk memaksimakan nilainya", pada hakikatnya merupakan subsidi sumber kepada 1MF1T oleh kerajaan secara tidak langsung.
Apakah kos tidak diperlukan jikalau meminjam landasan SIC? Untuk kemudahan 1MF1T membuat, mereka dan menguji kereta lumba, SIC telah memperuntukkan tanah yang seluas 8,000 hingga 12,000 hektar untuk dijadikan pusat 1MF1T.
Menurut harga tanah di Sepang, harga leasehold land untuk kegunaan industri ialah RM12/kaki persegi, malah leasehold land untuk kegunaan perdagangan pula sekurang-kurangnya RM5/kaki persegi.
Sekiranya perhitungan dibuat berdasarkan keluasan tanah yang diperuntukkan oleh SIC (seluas 8,000 hingga 12,000 hektar) untuk kegunaan perdagangan, maka harganya mencecah RM 4.3 billon (RM 4,303,728,000) hingga RM6.4 billion (RM 6,455,592,000).
Seandainya dikira pula berdasarkan harga tanah kegunaan industri, maka tanah ini bernilai RM10.3 billion (RM10,328,947,200) hingga RM 15.5 billion (RM15, 493,420,800).
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Razlan Razali pernah memaklumkan bahawa pusat 1MF1T akan menyediakan kemudahan penghasilan dan pembangunan, wind tunnel, membekalkan kemudahan untuk 1MF1T dalam rekaan, pembuatan dan pengujian. Kos yang terlibat dijangka dari jutaan hingga ratusan juta ringgit Malaysia.
Subsidi puluhan billion kepada 1MF1T
Selain kemudahan infrastruktur, SIC memperolehi keuntungan lumayan melalui pendapatan sewaan landasannya. Dalam satu artikel Razlan Razali kepada New Straits Times pada 24 September tahun ini, sewaan gelanggang merupakan perkara yang menguntungkan buat SIC. Selain acara perlumbaan kereta, aktiviti seperti menguji kereta, promosi produk, aktiviti korporat seperti konsert, pameran, majlis perkahwinan dan sebagainya.
Gelanggang yang asalnya membawa pendapatan, kini dijadikan gelanggang percuma untuk dipinjam kepada 1MF1T. Dari perspektif ini, kerajaan telah menjimatkan kos 1MF1T setinggi billion hingga puluhan billion ringgit. Dari perspektif sebaliknya, kerajaan telah memperuntukkan subsidi sebanyak billion hingga puluhan billion ringgit kepada 1MF1T.
Oleh itu, kenyataan Tony Fernandez (gambar di kanan) bahawa "kerajaan tidak menaja kos operasi 1MF1T" adalah tidak berasas.
Di samping itu, menurut laporan The Malaysian Insider, Tony Fernandez membuat pengakuan dalam wawancara di Singapura bahawa Petronas telah memulakan perundingan dengan 1MF1T berhubung hal penajaan. Beliau menekankan bahawa "sebarang dana dari kerajaan datang melalui penajaan Petronas, dan lesen yang diberikan kepada 1MF1T untuk menggunakan jenama Lotus di bawah Proton".
Sebagai pulangannya, Proton akan mendapat peluang untuk menyertai teknologi automotif F1, dan diberikan pentas pemasaran untuk Lotus dan Proton.
Petronas menaja
Petronas adalah syarikat GLC yang paling bernilai. Pendapatan utama Petronas datang dari sumber negara, iaitu petroleum. Sebarang penajaan dari Petronas, sama ada dalam bentuk dana mahupun pertrol, harus dilihat sebagai tajaan dari kerajaan.
Menurut laporan The Edge Financial Daily pada 23 September, beberapa minggu sebelum pasukan BMW-Sauber mengumumkan untuk menarik diri dari F1, Petronas telah menawarkan satu kontrak penajaan tiga tahun yang bernilai 70 juta US dollar (kira-kira RM243,600,000).
Tony Fernandez memaklumkan bahawa bajet tahunan 1MF1T ialah RM 308 juta, dengan RM 168 juta sebagai kos permulaan (initial cost). Setakat ini, Tony Fernandez telah mencurahkan RM116 juta, ditambah pula dengan dana "jutaan" dari Naza Motor, dana yang terkumpul dijangka mencecah RM165 juta.
Perbelanjaan operasi selebihnya ditanggung penaja, pendapatan daripada penjualan produk komersial, siaran langsung televisyen dan hadiah berbentuk wang yang dimenangi. Antaranya, sumbangan penaja merupakan "bahagian yang amat besar".
80% ditampung Petronas
Seandainya Petronas memindahkan penajaan RM243,600,000 dari pasukan BMW-Sauber kepada 1MF1T, maka ia mencakupi 79% bajet tahunan 1MF1T. Dengan kata lain, hampir 80% bajet perbelanjaan 1MF1T ditampung oleh kerajaan, yang diwakili Petronas.
Yang lebih penting, 1MF1T dilihat sebagai lambang maruah Malaysia. Najib (gambar kanan) yang menguar-uarkan "1Malaysia" semestinya tidak akan membiarkan 1MF1T berakhir dengan kegagalan.
Walaupun Tony Fernandez menekankan bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dalam 1MF1T, tetapi perlu diingat bahawa acara sukan ini telah diakui umum sebagai acara yang paling "menghanguskan wang". Sesungguhnya Airasia dan Naza Motor sanggup memberi sokongan, namun dana dari pihak swasta sememangnya terhad. Mustahil untuk syarikat swasta yang berorientasikan keuntungan ini "membakar wang" sewenang-wenangnya.
Keadaan dijangka bertambah sukar apabila syarikat swasta yang terlibat memerlukan dana untuk memperkembangkan perusahaan dirinya.
Mungkin projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) wajar dijadikan pengajaran. Pada peringkat permulaan PKFZ, Lembaga Pelabuhan Klang dan Kementerian Pengangkutan mendakwa bahawa PKFZ boleh beroperasi secara sendiri tanpa bantuan kerajaan. Namun, ia berakhir dengan kesudahan yang terpapar di depan mata hari ini, dan kerajaan perlu membayar RM4.6 billion sebagai harga untuk pengajaran ini.

Masa depan PKFZ semakin malap

Perdana Menteri Najib Abdul Razak telah mengumumkan penubuhan satu pasukan bertugas peringkat tertinggi (task force) yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara untuk menyiasat kes penyelewengan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) secara mendalam. Antara tugas penting pasukan bertugas ini adalah untuk mengkaji halatuju pembangunan dan perkembangan PKFZ pada masa depan.
Skandal PKFZ sememangnya perlu diselesaikan secepat mungkin. Projek pembangunan sebagai "pusat pengangkutan negara dan rantau" dalam Rancangan Malaysia ketujuh ini, tidak harus berakhir sebagai projek gajah putih yang menelan dana awam.
Semenjak PKFZ beroperasi pada tahun 2006, kadar lot yang dapat disewakan tidak begitu memuaskan. Daripada jumlah keluasan lot yang dapat disewakan, iaitu sebanyak 31,187,744 kaki persegi, hanya 4,460,021 kaki persegi, atau 14% yang tersewa. Antaranya, kadar lot yang dapat disewakan adalah 15% untuk unit industri ringan (Light Industry Unit), 19% untuk bangunan pejabat dan 14% untuk tanah-tanah lapang.
Syarikat yang bertanggungjawab untuk PKFZ, iaitu PKFZ Sdn.Bhd mengalami kerugian setiap tahun, sejak PKFZ mula beroperasi pada tahun 2006. Menurut laporan audit PricewaterhouseCoopers pada Februari 2009, kerugian syarikat tersebut telah mencatat defisit operasi (operation defisit) sebanyak RM 24,368,000 dalam tempoh dari tahun 2006 hingga September 2008.
Tetapi, Lembaga Pelabuhan Klang menganggarkan bahawa jumlah lot yang berpotensi untuk disewakan adalah 13,515,717 kaki persegi, ataupun bersamaan 43%. Malah, lembaga tersebut juga meramalkan bahawa 100% lot dapat disewakan menjelang tahun 2018. Seandainya matlamat ini tercapai, maka pendapatan daripada kutipan sewa ini akan mencecah RM112 juta (RM112,000,000), dan untung bersih selepas ditolak cukai sebanyak RM61 juta (RM 61,000,000). Oleh itu, selepas tahun 2042, PKFZ akan mampu untuk menjelaskan semua hutang yang tertunggak.
Ramalan yang terlampau optimis
Seandainya syarat-syarat seperti persaingan dalam dan luar negara, kedudukan geografi, dasar makro, strategi pemasaran, lebih-lebih lagi beban hutang yang dipikul PKFZ diambil kira, perlu diakui bahawa PKFZ mempunyai kelebihan dari segi daya saing dan juga kedudukan geografi yang strategik. Namun, apabila diambil kira faktor-faktor yang selebihnya, ramalan Lembaga Pelabuhan Klang adalah terlalu idealistik.
Persoalannya, adakah PKFZ memenuhi syarat untuk menjadi sebuah pelabuhan zon perdagangan bebas yang berjaya? Keduanya, adakah PKFZ dapat menghadapi persaingan luar?
Jebel Ali Free Zone
Biar Jebel Ali Free Zone (Jafza) di Dubai dijadikan rujukan. Jafza yang seluas 48 km persegi, dianggap sebagai salah satu zon perdagangan bebas yang terbesar, malah paling cepat pertumbuhannya di dunia. Sejak zon ini mula beroperasi pada tahun 1985, ia mencatat kadar pertumbuhan hampir 320 kali ganda dalam tempoh 23 tahun. Bilangan syarikat yang bertapak di Jafza bertambah dari 19 buah pada tahun 1985, kepada 6,100 buah pada tahun 2008.
Jafza terletak di antara Jebel Ali Port, pelabuhan yang keenam terbesar di dunia dengan Lapangan Terbang Al Maktoum, yang bakal menjadi lapangan terbang kargo yang terbesar di dunia. Jarak perjalanan dari Jafza ke Jebel Ali Port atau lapangan terbang Al Maktoum hanya mengambil masa 20 minit.
Lapangan terbang Al Maktoum dijangka mula beroperasi pada Jun 2010. Kadar perdagangan, industri dan logistik di Jafza akan dipertingkatkan kelak. Kedudukan geografi Jafza begitu strategik, sebagai pintu utama kepada mereka yang keluar dan masuk ke rantau Timur Tengah, Afrika, malah Asia Tengah, yang meliputi kira-kira 2 billion orang pengguna.
Dubai Port World (DP World) adalah sister company kepada Jebel Ali Port, juga memiliki pelabuhan Dubai. Sebagai pelabuhan yang keempat terbesar di dunia, DP World mendirikan sebanyak 49 terminal marin (marine terminal) di 31 buah negara, malah 12 lagi terminal marin baru yang bakal beroperasi. DP World juga memiliki empat zon perdagangan bebas.
Pada tahun 2008, DP World mengendalikan lebih daripada 46.8 juta kontena di seluruh dunia, malah menggariskan matlamat untuk mengendalikan 67 juta kontena pada tahun 2030. Menurut perancangan DP World, bilangan kontena yang akan dikendalikan Jebel Ali Port akan mencecah 30 juta pada tahun 2030. Pelabuhan Singapura
Seterusnya, PKFZ dibandingkan dengan pelabuhan yang terdekat, iaitu Pelabuhan Singapura. Pelabuhan Singapura terletak di persisiran pantai selatan Singapura, dikelilingi Selat Melaka dan Selat Singapura, adalah pelabuhan entrepot yang terbesar di Asia Pasifik, juga antara pelabuhan kontena yang terbesar di dunia.
Pelabuhan Singapura mempunyai kedudukan geografi yang strategik, iaitu terletak di jalan perairan utama antara lautan Hindi dan lautan Pasifik. Pelabuhan Singapura merupakan pelabuhan yang paling pesat, serta pelabuhan pemindahan kontena yang terbanyak di seluruh dunia. Pada tahun 2008, bilangan kontena yang dipindahkan di Pelabuhan Singapura mencecah 29.9 juta, menduduki ranking tertinggi di dunia.
Selain daripada itu, Pelabuhan Singapura juga merupakan salah satu pusat pengangkutan marin (marine transport hub) yang terbesar di dunia, dilengkapi dengan kemudahan dan perkhidmatan pelabuhan yang sempurna, serta liputan rangkaian pelabuhan yang merangkumi seluruh dunia.
Kini, terdapat sekurang-kurangnya 250 buah syarikat kapal laut yang menghubungkan Singapura kepada lebih 600 pelabuhan daripada 123 negara di seluruh dunia. PSA Corporation Ltd diiktiraf sebagai syarikat pelabuhan dan perkhidmatan logistik yang terbaik di dunia. Pemenang anugerah "Pengusaha Pelabuhan Kontena Terbaik di Asia" setiap tahun ini, telah memperolehi anugerah AFIA (Asian Freight Industry Award) sebanyak 13 kali. Pada masa yang sama, Pelabuhan Singapura juga terpilih sebagai "Pelabuhan Terbaik di Asia" untuk 14 kali.

Tuesday, August 25, 2009

"Serangan hendap"Ong bakal digulingkan?

Perbalahan antara Presiden MCA Ong Tee Keat dengan Ketua Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd, Tiong King Sing semakin hangat bahangnya, apabila Ong dilaporkan mendakwa dirinya mungkin dipecat, atau ditukar pangkat pada bila-bila masa, kerana meneruskan siasatan terhadap penyelewengan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Sin Chew Daily memetik kata-kata pemimpin yang turut hadir dalam taklimat tertutup semalam, melaporkan Ong mendakwa dirinya dimaklumkan bahawa beliau bukanlah Presiden MCA yang disukai UMNO. Malah, Ong mendedahkan bahawa wujudnya kuasa dalam dan luar parti, yang sanggup menggulingkan Ong dengan RM100 juta.
Menurut laporan Sin Chew Daily, berdasarkan maklumat risikan yang terkumpul, Ong memberitahu bahawa sebuah parti baru bakal ditubuhkan, untuk menggantikan MCA dalam Barisan Nasional. Ong dituduh gagal mengembalikan sokongan masyarakat Cina terhadap BN, maka puak-puak tersebut kini "berkomplot" untuk menubuhkan parti baru untuk menggantikan MCA.
Tiong mula menjelma?
Perselisihan antara Ong Tee Keat dengan timbalannya, Chua Soi Lek bukan sesuatu yang baru. Baru-baru ini, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional Malaysia (BNBBC) merangkap Bendahari Agung Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Tiong King Sing pula masuk ke gelanggang, menambah tekanan terhadap Ong.
Sebelum ini, ketika ditemuramah beberapa media bahasa Cina, Ong Tee Keat berulang-kali menekankan bahawa dirinya menghadapi "serangan hendap" daripada musuh politik, malah diugut oleh kuasa kongsi gelap. Ong bagaimanapun enggan menamakan siapa sebenarnya dalang di sebalik "serangan hendap" yang dimaksudkan itu.
Minggu lalu, Tiong Sing King (gambar kiri) mendedahkan bahawa Ong pernah menggunakan perkhidmatan pesawat syarikatnya tanpa pembayaran melalui Pengarah Eksekutif Wijaya Baru Global Berhad, Faizal Abdullah. Kemudian, Tiong mencetuskan letupan dengan mengaku bahawa dirinya pernah menyerahkan RM10 juta kepada Presiden MCA itu.
Pada keesokannya, Ong menafikan tuduhan Tiong, membuat laporan polis dan memberi kata dua akan menyaman Tiong sekiranya tidak menarik balik tuduhan dalam tempoh tujuh hari. Malah, Ong memberi isyarat yang cukup jelas, mendakwa bahawa "salah satu dalang" di sebalik "serangan hendap" telah menjelma.
Bagi pihak Ong, Tiong cuba menghalang usahanya untuk mendedahkan skandal PKFZ. Maka, Tiong dianggap "bersubahat" dengan musuh politiknya dalam MCA, iaitu Chua Soi Lek untuk menggulingkannya. Malah, kedua-dua pihak ini disyaki mendapat restu daripada UMNO, menjelaskan apa yang dimaksudkan sebagai "campur tangan kuasa luar" sebelum ini.
Ong terperangkap
Justeru itu, Ong Tee Keat cuba mengerah sokongan dalam MCA melalui taklimat tertutup semalam. Daripada 2,865 pemimpin bahagian yang diundang, hanya kira-kira 800 yang hadir, tidak melebihi dua pertiga. Walau bagaimanapun, "taklimat" ini berakhir dengan sokongan sebulat suara terhadap pimpinan Presiden MCA dan siasatan menyeluruh terhadap skandal PKFZ, tanpa kehadiran orang nombor dua dalam parti tersebut.
Agak awal untuk meramalkan sejauh manakah sokongan akar umbi terhadap Ong setakat ini. Namun, Ong ternyata terperangkap dalam mainan politik musuhnya, dan mungkin menjurus kepada panggilan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk menggulingkannya.
Ong yang terkenal sebagai "Lone Ranger" selama ini meraih sokongan rakyat dengan "imej"nya yang lebih positif, dan bukannya sokongan dari akar umbi MCA. Secara sedar atau tidak, Ong melihat dirinya lebih "suci" daripada rakan seperjuangannya dalam MCA.
"Imej" merupakan senjata Ong ketika bertanding untuk jawatan presiden pada tahun 2008. Malah, persoalan utama yang diutarakan ketika itu berbunyi, "Sama ada MCAmampu diselamatkan semata-mata dengan imej baik presidennya?"
Kelebihan kini jadi kelemahan
Jawapannya mula menjelma. Ong kini berdepan dengan risikonya, setelah memancing undi dengan "imej" individu. Pengundi yang menaruh harapan tinggi terhadap Ong, menggunakan kayu ukur yang lebih ketat untuk menilai Ong. Maka apabila Faizal Abdullah (gambar kiri) mendedahkan bahawa Ong tidak membayar untuk perkhidmatan pesawat syarikatnya, imej Ong mula tercalar.
Penyokong Ong mungkin bertanggapan bahawa fokus media perlu ditumpukan kepada bagaimana Ong sebagai Menteri Pengangkutan, mengambil langkah berani untuk mendedahkan skandal terbesar negara, sebagai usaha untuk membanteras rasuah dalam BN; dan bukannya dialihkan pandangan kepada berapa kali perkhidmatan pesawat tersebut digunakan.
Namun, Ong diasak dalam isu ini kerana "kesucian" yang ditegaskannya selama ini. Malah, jawapannya tidak cukup meyakinkan. Pada 12 Ogos, setiausaha politiknya Lim Seng Chai menafikan tuduhan dengan alasan bahawa "pejabat kementeriaannya" belum menerima sebarang invois daripada Wijaya Baru Global Berhad.
Setelah dipertikaikan sama ada perkhidmatan tersebut wajar ditanggung Kementerian Pengangkutan, barulah Lim Seng Chai menjelaskan bahawa Ong akan membayar perkhidmatan pesawat tersebut melalui akaun peribadi, seandainya harga yang dikenakan itu berpatutan.
Mana perginya wang?
Kontradiksi wujud dalam kenyataan sebelum dan selepasnya. Tekanan memuncak apabila Tiong mendakwa dirinya menyerahkan RM10 juta kepada Ong Tee Keat sebagai derma untuk tabung aktiviti bahagian MCA. Walaupun "derma" sedemikian dilihat sebagai perkara "lumrah" dalam politik, namun tuduhan ini mencetuskan kesangsian pemimpin peringkat bahagian MCA terhadap pimpinan Ong.
Bendahari Agung MCA, Tee Hong Seng menafikan bahawa MCA pernah menerima "derma" daripada Tiong. Dengan kata lain, antara Tiong dengan Ong, salah seorang daripadanya berbohong dalam isu ini. Seandainya apa yang dikatakan Tiong itu benar, ahli MCA akan mempersoalkan presidennya, ke mana wang itu pergi?
Tiong mendakwa wang tunai sebanyak RM10 juta ini diserahkan kepada Ong, malah saksinya boleh tampil ke depan untuk membuktikan kenyataannya pada bila-bila masa. Api menular apabila rakan seperjuangan Ong, Ketua Wanita MCA Chew Mei Fun mengakui bahawa dirinya pernah menerima derma Tiong. Api merebak kepada Ketua Pemuda MCA, Wee Ka Siong yang dilemparkan tuduhan yang sama.
Imej semakin tercalar
Seandainya Tiong berjaya membuktikan bahawa tuduhannya terhadap Ong bukan fitnah, maka Presiden MCA ini terpaksa berdepan dengan krisis kredibiliti dan integriti. Maka, EGM mungkin dipanggil untuk menguji sejauh manakah Presiden yang belum genap setahun menerajui MCA ini mendapat kepercayaan perwakilannya.
Ong tidak mempunyai banyak pilihan. Beliau perlu membuktikan bahawa dirinya "bersih" daripada sebarang bentuk "rasuah". Kelebihannya bersandarkan "kesucian imej"nya. "Nilai politiknya" tetap ada seandainya beliau "disingkirkan" dari BN kerana keberanian mendedahkan rasuah.
Namun demikian, sekiranya imej beliau semakin hari semakin tercalar dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan, malah gagal membuktikan dirinya "tidak bersalah", maka kemungkinan besar hayat politiknya akan menghembuskan nafas terakhir dalam lumpur PKFZ.

Bagaimana Selangor di-"PERAK"kan?

Walaupun kawasan DUN Permatang Pasir, Negeri Pulau Pinang bakal menjadi gelanggang silat politik lantaran pilihan raya kecil yang akan berlangsung mulai 17 Ogos, namun bahang politik ternyata lebih hangat di Selangor.
Pada 9 Ogos, Presiden UMNO, Najib Abdul Razak menyatakan secara terbuka bahawa Barisan Nasional mahu merampas semula Selangor yang merupakan nadi negara, sementara timbalannya Muhyiddin Yassin, meramalkan bahawa Pakatan Rakyat akan "terburai" dalam setahun dua ini.
Niat UMNO-BN untuk menguasai Selangor bukan rahsia lagi. Malah, selepas 8 Mac 2008, PAS ditawarkan untuk membentuk kerajaan bersama UMNO di Selangor. Baru-baru ini, bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo dikatakan mendakwa bahawa BN akan mengembalikan kerajaan negeri Selangor pada September, tahun ini.
Perang mental
Serangan mental bahawa "Anwar pengkhianat", "DAP hina Islam dan institusi Raja Melayu" dijana semula selepas pemergian Allahyarham Mohd Hamdan Abdul Rahman dan perhimpunan Mansuhkan ISA. Hujah sedemikian menyarat di dada akhbar milik UMNO, membuka tirai pertarungan pilihan raya kecil DUN di kawasan parlimen Permatang Pauh, di bawah kerajaan PR yang didominasi DAP.
Namun demikian, bukankah lagu yang sama pernah didendangkan setahun lalu, ketika Anwar Ibrahim turun ke gelanggang Permatang Pauh? Pertaruhan yang sengit itu telah menyaksikan bagaimana Anwar berjaya menangkis segala tuduhan dan kembali ke Dewan Rakyat, setelah 10 tahun dipecat dari kerajaan?
"Isu penjualan minuman alkohol di Selangor, Anwar sebagai pengkhianat dan sebagainya, mula dihebahkan oleh UMNO di Permatang Pasir. Pada masa yang sama, seandainya dilihat dalam konteks yang lebih luas, perang mental ini sebenarnya bertujuan memecah-belahkan Pakatan Rakyat," analisa seorang pekerja dalam PKR.
Malah, penganalisa ini menganggap strategi tersebut dicedok daripada strategi Anwar ketika menguar-uarkan rancangan "tukar kerajaan pusat" pada 16 September yang lepas. Sokongan rakyat terhadap Anwar memuncak ketika itu, menambah kelebihan Anwar untuk mempelawa secara terbuka agar ahli parlimen BN menyeberang.
Perkara yang sama diulangi oleh BN, memperbesarkan kontroversi antara parti komponen PR, dan kemudian mempelawa secara terbuka pemimpin PAS supaya "bersatu" atas nama "perpaduan Ummah Islam" dan "ketuanan Melayu".
Pengajaran daripada krisis Perak
"UMNO-BN semestinya telah mendapat pengajaran daripada krisis Perak, menyaksikan bagaimana rakyat bangkit menentang rampasan kuasa oleh BN. Namun, Najib juga sedar bahawa seandainya beliau mengambil-alih kerajaan negeri secara keras, beliau tetap akan berjaya akhirnya. Syaratnya, beliau perlu meyakinkan penyokongnya bahawa tindakan tersebut adalah wajar," tambahnya.
Walaupun ketidakpuasan menyelubungi Perak secara umumnya, namun keputusan pilihan raya kecil Bukit Gantang mendedahkan realiti bahawa calon PAS, Mohd Nizar Jamaluddin "kehilangan sokongan Melayu" (walaupun pada kadar yang rendah), setelah diserang bertubi-tubi sebagai "penderhaka" dan "boneka DAP".
Justeru itu, UMNO-BN amat memahami bahawa seandainya rampasan kuasa berlaku di negeri Selangor, UMNO-BN perlu memastikan penyokongnya tetap bersama dengan BN, di samping tidak mencetuskan kemarahan yang meluap-luap di kalangan pengundi atas pagar.
Maka, isu perkauman dan agama dicetuskan, malah diperhangatkan baru-baru ini, dibaca sebagai langkah UMNO-BN untuk mencari "kewajaran" menghalalkan rampasan kuasa, yang mungkin berlaku kemudian.
Pergelutan di Selangor
Kerajaan PR yang diperlihatkan lebih "stabil" kerana memiliki ADUN dan EXCO yang lebih berkualiti, berbanding kerajaan negeri PR yang lain, bagaimanapun mula goyah apabila isu demi isu yang memberi kesan negatif, mula menjelma.
Mutakhir ini, isu penjualan arak yang ditimbulkan dimanipulasi sepenuhnya oleh akhbar milikan UMNO. Kenyataan Exco Selangor merangkap Pesuruhjaya PAS Selangor, Hasan Mohd Ali yang berbunyi "...saya sanggup dikenakan apa jua tindakan oleh pucuk pimpinan Parti, hatta dilucutkan jawatan sebagai EXCO Kerajaan Negeri Selangor disebabkan langkah dan tindakan yang saya perjuangkan itu," dianggap mempunyai maksud tersirat.
"Apa yang diusahakan oleh UMNO-BN sekarang ialah, memastikan supaya mereka mendapat bilangan ADUN yang mencukupi untuk mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN 'bebas'," kata seorang pemerhati politik kepada MerdekaReview.
Rampasan kuasa melalui "lompatan katak" seperti di Perak mungkin mengundang pertikaian, namun seandainya UMNO-BN berjaya menghakis sokongan rakyat terhadap kerajaan PR, maka BN mungkin berada dalam keadaan yang lebih selesa.
Senjata rahsia BN
"Persoalannya, kami tidak tahu apa senjata yang dimiliki BN sekarang. Kami terpaksa mengaku bahawa terdapat kelemahan dalam pentadbiran kerajaan negeri PR, khususnya segelintir EXCO yang mempunyai masalah. Seandainya BN menyerang kelemahan tersebut, PR mungkin sukar untuk mempertahankan kedudukannya," kata sumber maklumat.
Kekhuatiran pekerja PR ini mempunyai asasnya. Malah, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Azmin Ali sebelum ini mendesak untuk merombak barisan Exco Selangor, malah menuding jari terhadap portfolio Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, yang dipegang Ronnie Liu Tian Khiew.
"Serangan Hasan Mohd Ali (gambar kanan, sebelah kiri) boleh juga dibaca sebagai langkah desakan supaya Ronnie (gambar kanan, sebelah kanan) disingkirkan, di samping membawa makna lain yang ingin disampaikan," jelasnya.
Secara terus-terang, sumber maklumat ini mengaku kepada MerdekaReview bahawa pihak PR sendiri menerima rungutan daripada pemaju dan peniaga terhadap portfolio yang mudah mengundang kontroversi ini. Malah, seandainya kemarahan mereka meledak, tidak mustahil mereka akan berpegang pendirian untuk menggulingkan kerajaan PR di Selangor.
Namun demikian, hubungan Ronnie Liu yang rapat dengan pucuk pimpinan DAP, menyukarkan penyingkiran tersebut, katanya. Walau bagaimanapun, Ronnie yang dijadikan tumpuan serangan, menafikan tuduhan terhadap dirinya. Beliau membela diri dalam wawancaranya bersama Malaysiakini, mendakwa dirinya diserang kerana sikapnya yang sentiasa berada di barisan depan dalam banyak isu.
"Terpulanglah kepada pemimpin utama PR. Seandainya tindakan yang bersesuaian tidak diambil, sanggup membiarkan setitik nila untuk merosakkan susu sebelanga, maka tidak mustahil Selangor ditawan selepas Perak. Permatang Pasir terlalu kecil untuk BN, sekiranya dibandingkan dengan negeri yang menyumbang cukai pendapatan dan yang lain, yang dianggarkan kira-kira RM30 billion," kata penganalisa itu.

Wednesday, August 5, 2009

K'rjn PR Kedah mungkin terkubur

"Air yang mengapungkan perahu itu, bisa mengaramkan perahu."
Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah yang didominasi PAS, nampaknya belum memahami maksud pepatah Cina ini. Walaupun pilihan raya umum 8 Mac 2008 menyaksikan bagaimana Kedah ditawan oleh pembangkang, dengan bantuan undi bukan Melayu, namun kerajaan PR tidak akur kepada suara rakyat setelah berkuasa.
Dasar berbau "perkauman" yang terpesong dari pendirian PR, malah memperlekehkan masyarakat Cina digubal, mencetuskan kekecewaan dan kemarahan komuniti Cina tempatan.
"Sebelum 8 Mac 2008, saya berusaha untuk memastikan ahli keluarga saya, kawan saya, jiran saya mengundi untuk PAS. Pada pilihan raya umum yang akan datang, saya akan memastikan ahli keluarga saya, kawan saya dan jiran saya tidak mengundi PAS!"
Demikianlah yang diperkatakan oleh seorang pemaju Cina di Kedah ketika ditemuramah. Suara masyarakat Cina dengan lantang berbunyi, "seandainya kerajaan Kedah tidak akur kepada suara rakyat, memperbetulkan apa yang salah dengan segera, maka orang Cina di Kedah sanggup mengembalikan 'kerajaan lama yang tidak berubah untuk 50 tahun', daripada mengekalkan 'kerajaan baru yang makin ubah makin teruk'. "
"Kedah di bawah PAS" bakal jadi sejarah Penetapan kuota perumahan 50% untuk bumiputera, yang diumumkan Menteri Besar Kedah Azizan Abdul Razak (gambar kiri) pada tahun 2008, telah menggoyah keyakinan komuniti Cina terhadap pimpinan kerajaan PR. Isu pusat penyembelihan khinzir yang menggemparkan baru-baru ini, memusnahkan terus keyakinan komuniti Cina terhadap kerajaan PR di Kedah.
Meskipun isu ini nampaknya reda setelah pemimpin PR peringkat pusat, Lim Kit Siang mencampurtangan, namun komuniti Cina masih meragui sama ada kerajaan Kedah akan menunaikan janji untuk menyelesaikan isu ini. Barisan Exco negeri Kedah dilihat terlalu lemah untuk menyelesaikan kemelut yang tersebut di atas.
Maka, tokoh persatuan tempatan menyimpulkan, sekiranya kerajaan pusat pimpinan Najib tidak mencetus masalah besar, malah terus menggubal dasar yang mesra kepada bukan Melayu, maka "Kedah di bawah perintah PAS" akan tinggal sebagai lembaran sejarah untuk selama-lamanya.
Kualiti barisan EXCO rendah
Tiada orang menjangkakan bahawa pembangkang berupaya menawan kubu Barisan Nasional di Kedah. Sebelum PRU ke-12, penduduk tempatan memujuk agar ahli profesional bertanding menyarungkan jersi PKR. Namun demikian, kerusi yang dibahagikan kepada PKR tidak mendapat sambutan, lantaran itu diisi dengan calon yang kualitinya lebih rendah.
Bagaimanapun, tsunami politik telah menghancurkan kerajaan BN di Kedah kemudiannya. Kuasa tidak berbau. PAS, PKR dan DAP merampas kuasa dengan menawan 22 dari 36 kerusi DUN.
Menurut seorang penyokong PR tempatan, Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa sebelum ini hanya menjangkakan bahawa PAS akan bertahan di Kelantan, sementara merampas kuasa di Terengganu. Setelah penyokong PR memaklumkan kepada Ustaz Nasharuddin bahawa keadaan di Kedah menampakkan peluang untuk pembangkang, barulah diumumkan secara terbuka bahawa PAS berupaya memerintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Ini menunjukkan bahawa "kerajaan negeri Kedah" tidak terjelma dalam minda pemimpin pembangkang sebelum PRU ke-12, ketika merangka strategi untuk merampas tampuk kuasa. Maka ia berakhir dengan barisan Exco yang berkualiti rendah. Malah, antara parti komponen PR, ADUN dari PKR memperlihatkan keupayaan yang paling rendah, langsung tidak berdaya untuk mengimbangi PAS dalam mesyuarat Exco negeri.
BN terus lobi "lompat parti"
Desas-desus bahawa kerajaan PR di Kedah bakal ditumbangkan sejak tahun lepas tidak pernah bernoktah. Sebagaimana yang dimaklumkan, proksi BN tidak pernah berhenti untuk melobi agar ADUN PR lompat parti. Malah, setelah isu pusat penyembelihan khinzir tercetus, RM4 juta ditawarkan untuk menggoda supaya ADUN PR menyeberang.
Antara 22 kerusi yang dimenangi PR, PAS merangkul 16 kerusi, DAP hanya satu dan PKR memiliki 5 kerusi; sementara 14 kerusi yang dimiliki BN, 12 kerusi menjadi milik UMNO, MCA dan Gerakan masing-masing mempunyai satu kerusi.
Dalam barisan Exco Kedah yang terdiri daripada 11 orang, 8 orang dari PAS dan selebihnya dari PKR, iaitu Mohamad Radzhi Salleh dari Lunas, Manikumar Subramaniam dari Bukit Selambau, dan Tan Wei Xu (gambar kanan) dari Bakar Arang. DAP dengan hanya seorang ADUN dari Kota Darul Aman, Lee Guan Aik tidak mendapat tempat dalam barisan Exco Kedah.
Jadi, ketika khabar angin kencang meramalkan kerajaan Kedah akan ditumbangkan, 3 orang Exco dari PKR dilihat sebagai "kumpulan berisiko tinggi", hingga dipandang serong oleh ahli parti sendiri. Anggota dari PKR memaklumkan kepada MerdekaReview, bahawa walaupun kebolehan Mohamad Radzhi Salleh dan Tan Wei Xu agak rendah, namun tetap diangkat sebagai Exco, setelah mendapat restu daripada ahli parlimen Sungai Petani PKR, Johari Abdul yang juga seorang bekas pemimpin UMNO.
Menurut pemerhatian wartawan MerdekaReview ketika melawat Kedah, penilaian tokoh tempatan terhadap Tan Wei Xu agak negatif. Tahap pendidikan dan kebolehan bahasa Tan agak rendah, sebagai Exco Sumber Manusia, Pengangkutan, Alam Sekitar & Hal Ehwal Masyarakat Cina. Komuniti Cina tempatan meragui kebolehan beliau untuk mengimbangi kuasa konservatif dari PAS dalam mesyuarat EXCO.
Sebaliknya, komuniti Cina menaruh harapan yang tinggi terhadap Manikumar Subramaniam yang baru menang dalam pilihan raya kecil di Bukit Selambau pada April 2009. Namun demikian, adakah keputusan PKR melantik ahli profesional untuk "membaiki keadaan" di kerajaan Kedah terlalu lambat? Jawapannya masih belum diketahui.